Thursday, September 1, 2011

Coretan Silam: Kebetulan atau Kebenaran


Angin sepoi-sepoi bahasa. Pokok nyiur melambai mesra. Petang itu terasa begitu nyaman sekali. Sementara itu di dalam sebuah rumah, keadaan di satu sudut begitu menyakitkan mata bagi sesiapa sahaja yang memandang. Buku berselerakan di kiri dan kanan. Beg sekolah tersadai di satu penjuru dinding. Alat-alat tulis terkeluar daripada bekas. Namun, itu semua tidak mengahalang aku daripada terus menyiapkan kerja sekolah. Tekun dan khusyuk. Fuhh! Sungguh kurang percaya bagi budak yang pemalas seperti aku ini.

Namun begitu, tanganku yang tekun menulis setiap bait-bait kata terhenti serta merta. Aku seakan-akan tidak percaya akan kehadiran seseorang. Hanya berbaju pagoda putih, berkain pelikat dan berkopiah, beliau melangkah perlahan ke arahku. Ibuku yang baru sahaja selesai mengangkat baju jemuran terkaku di pintu. Terkejut! Itulah reaksi ibuku. Aku sendiri pun terkejut dengan kehadirannya. Sudah agak lama beliau meninggalkan kami. Tapi, hari ini beliau kembali. Kenapa?

Derapan kakinya berhenti betul-betul di hadapanku kini. Aku hanya mampu memandang. Berdiri kaku mengadap ayah. Ya! Itulah ayahku. Tangan ayah diangkat memegang kedua-dua belah bahuku. Ada sesuatu yang ingin disampaikan. Tetapi apa? Cakaplah ayah! Anakmu ini sudi mendengar walaupun masih dalam keadaan terkejut dengan kehadiran ayah. (Ayat tak boleh blah!)..memang jiwang la ang ni hahaha (tiba2 cik blogger menyampuk)

Ayah hanya memandang. Dapat aku lihat terselit kesedihan di sebalik wajah suci ayah. Kenapa ayah sedih? Aku hanya mampu menyoal di dalam hati. Suaraku seakan-akan tesekat di kerongkong. Pandangan ayah kepadaku penuh dengan seribu satu persoalan di minda.  Bila mata bertentang mata. Hati mula berkata-kata, “Apakah maksud kedatanganmu wahai ayah?” Bagaimana aku harus merungkai segala yang tersirat sedangkan yang tersurat pun aku tidak tahu! (-_-“)

Seketika kami saling berpandangan, ayah mula mengatur langkah pergi meninggalkan aku. Masih berdiam diri tanpa sebarang kata. Aku yang masih tercari-cari maksud kedatangan ayah pada hari itu, hanya memandang sepi. Merelakan pemergian ayah! Ibuku yang masih terkejut, pegun di pintu. Turut memandang sepi. Bisu seribu bahasa! Tiada lagi kata seindah bahasa. Semuanya menjadi bisu pada ketika ini.

Aku tersentak dari tidur. Rupa-rupanya aku hanya bermimpi. Mana mungkin ayah akan kembali setelah beberapa bulan ayah pergi mengadap Illahi. Wajah ayah yang muncul dalam mimpiku itu tak mungkin dapatku lupakan. Walaupun begitu, persoalan yang sama masih melekat kemas di fikiran. Apakah kedatangan ayah dalam mimpi membawa perkhabaran bahawa aku akan kehilangan seorang lagi ahli keluarga. Hanya satu di fikiranku kini. Tok wan! Ya. Tok wanku sedang sakit. Sudah beberapa hari terlantar di atas katil. Mungkinkah? Mungkinkah kedatangan ayah pada hari itu membawa perkhabaran yang sama seperti mana rakan ayah turut bermimpi sehari sebelum ayah dijemput Allah? Adakah benar jangkaan anakmu ini wahai ayah?

Beberapa hari selepas itu, akhirnya tok wan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mimpi kedatangan ayah mula menerjah fikiran. Adakah ianya benar atau sekadar kebetulan! Aku buntu. Sememangnya buntu. Persoalan yang tak mungkin dapat aku jawab sehingga hari ini. Aku hanya mampu pasrah dan redha setiap pemergian.



إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ


"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami 

kembali..."


0 comments:

Post a Comment

 
;