Wednesday, June 29, 2011

Love Story-Bored: CINTA NUR IBTISAM


Hari demi hari. Tahun berganti tahun. Kehidupan Nur Ibtisam begitu ceria tanpa gusar. Senyuman sentiasa meniti bibirnya. Tak penah senyumannya lekang dari wajah walau sesaat bagi sesiapa yang mengenali diri Nur Ibtisam.  Sesuailah dengan nama yang disandangnya selama ini. Nur Ibtisam (Cahaya Senyuman).

Nur Ibtisam seorang gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Ayahnya seorang guru agama di sebuah pondok manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Hidupnya dikelilingi oleh 3 orang adik lelaki. Walaupun begitu, dia tidak pernah merasakan kesunyian tanpa saudara perempuan yang lain. Kerana bagi Nur Ibtisam, cukuplah ibunya sentiasa ada di sisi.

Kini, Nur Ibtisam diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi jurusan undang-undang. Memang inilah cita-citanya sejak kecil. Walaupun ada yang mengatakan bahawa menjadi seorang peguam seolah-olah sebelah kaki ke Neraka, namun bagi Nur Ibtisam Allah pasti ada bersamanya dalam menegakkan keadilan.

Kehidupannya di university banyak ranjau. Ada susah di sebalik kesenangan. Ada duka di sebalik kegembiraan. Tetapi, semua itu dihadapi dengan tabah tanpa gentar.  Prinsip dan keyakinan bahawa Allah sentiasa berada bersamanya tak kira susah ataupun senang, itulah yang menjadi kekuatannya  selama ini. Dorangan daripada keluarga dan kawan-kawan menguatkan lagi azam Nur Ibtisam dalam mengecapi impiannya itu.

Namun,  seperti firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” . Begitulah Allah datangkan satu ujian buat Nur Ibtisam saat hatinya masih bebas daripada sebarang perasaan cinta seorang pemuda. Cinta yang tiba-tiba datang mula mengusik jiwa Nur Ibtisam.

Perkenalan Nur Ibtisam dengan seorang pemuda di university benar-benar membuatkan hatinya gusar. Masakan hati Nur Ibtisam akan berasa senang jikalau perasaan yang tak pernah wujud kini telah tersemat kemas di dalam hatinya. Cinta pemuda itu tidak pernah ditolak mahupun diterima. Dia hanya membiarkan kata-kata cinta si pemuda berlalu dibawa angin begitu sahaja. Bukan kerana bongkak atau sombong, tetapi Nur Ibtisam berasa ragu dengan si pemuda.

Adakah cintanya benar-benar tulus ataupun sekadar gurauan? Itulah yang seringkali bermain di minda Nur Ibtisam. Jika benar cinta si pemuda, apa yang patut diucapkan Nur Ibtisam sedangkan si pemuda tidak pernah menanyakan soal hati kepadanya. Hanya sekadar meluahkan rasa hatinya tanpa memperdulikan perasaan Nur Ibtisam terhadapnya. Andai diterima cinta si pemuda, apakah cinta yang dihulurkan akan membuatnya lebih dekat dengan Allah ataupun akan menyebabkan dia terus tenggelam dengan rasa cinta? Persoalan demi persoalan bermain di fikiran. Namun, tiada satu pun jawapan yang diperolehnya.

Bulan berganti bulan. Semester berganti semester. Kini, Nur Ibtisam di semester ke-5. Perhubungan Nur Ibtisam dengan si pemuda atas dasar kawan semakin hari semakin renggang. Mereka tidak lagi seperti dahulu yang sering kali berkongsi pendapat dan masalah. Masing-masing sepi menjanlankan kehidupan seharian tanpa ada sebarang sengkata. Seolah-olah tidak pernah terjalin  perhubungan antara mereka walaupun atas nama ‘kawan’.

Pada mulanya, Nur Ibtisam bersyukur dengan perubahan yang terjadi. Bukan apa, sekurang-kurangnya dia boleh terhindar daripada sebarang dosa dan noda. Dia sendiri tidak pasti apakah hukum yang jatuh ke atasnya dirinya apabila dia sering kali berhubung dengan si pemuda. Walaupun begitu, hati Nur Ibtisam tidak seiring dengan akalnya. Hatinya kini seolah-olah meronta untuk kembali kepada kehidupan yang dulu. Kehidupan di mana dia dan si pemuda terus berkongsi apa sahaja masalah dan pendapat.

Semakin hari semakin dalam perasaan sayang Nur Ibtisam kepada si pemuda. Rindu mula bertandang. Dia tahu, kini dia telah terjebak dalam cinta. Ya CINTA! Tidak pernah Nur Ibtisam merasakan perasaan seperti ini. Namun apakan daya, si pemuda telah pergi meninggalkan dia. Nur Ibtisam hanya mampu memandang dari jauh. Tak mampu rasanya untuk meluahkan apa yang terpendam di hati kerana Nur Ibtisam takut. Bukan takut cintanya ditolak tetapi takut seandainya perasaan yang diluahkan akan melalaikan mereka dari jalan Allah. Takut seandainya perhubungannya nanti tidak akan diredhai Allah.

Lalu, apa yang harus dilakukan Nur Ibtisam. Apakah cara yang boleh dilakukannya untuk mengembalikan hati Nur Ibtisam yang dulu. Yang bebas daripada perasaan cinta si pemuda. Senyumannya kini juga tak seperti dulu. Penuh dengan kepura-puraan. Entah mengapa pilu rasanya hati Nur Ibtisam mengenangkan si pemuda.

Namun, prinsip dan keyakinannya terhadap Allah masih lagi kuat. Dia yakin bahawa Allah pasti merencanakan sesuatu yang baik untuk dirinya. Nur Ibtisam juga yakin bahawa seandainya si pemuda itu adalah jodohnya, maka Allah akan menyatukan mereka juga kelak. Dan seandainya si pemuda itu bukanlah jodoh yang terbaik untuknya, nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Apa yang perlu dilakukan oleh Nur Ibtisam pada saat ini adalah terus berusaha meningkatkan imam di dada dan menjadi wanita solehah untuk lelaki yang soleh. Itu yang pasti. Seperti mana firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud, “Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” 

Walau bagaimanapun, Nur Ibtisam hanyalah seorang manusia biasa. Kadang-kala dia turut lemah dengan mainan perasaan. Tak mungkin begitu mudah untuk dia melupakan si pemuda. Pemuda yang satu-satunya berjaya mencuri sekeping hati milik Nur Ibtisam. Dalam diam, Nur Ibtisam  juga berharap agar si pemuda dapat merasakan perasaannya ini walaupun tanpa perlu diluahkan. Apakah si pemuda akan dapat merasainya? Apakah si pemuda akan memahami isi hatinya kini? Tak dapat Nur Ibtisam menjawabnya. Dia hanya mampu berserah. Berserah kepada Allah. Sujudnya siang dan malam memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah. Memohon kekuatan dalam menghapi ujian ini. Kerana Nur Ibtisam tahu “Hati Kita ALLAH yang pegang.” Bila-bila masa sahaja hati ini akan berubah rentak dengan izinNya.

~THE END~



p/s: Wahai pemuda-pemuda di luar sana! Bukan mudah untuk seorang gadis seperti Nur Ibtisam untuk menyatakan cintanya. Kerana dia lebih mendahulukan cinta kepada Allah dan Rasul. Fahamilah isi hatinya, nescaya anda akan dapat merasai cinta yang tersimpan. Maka, teruslah menyayanginya sampai anda berdua benar-benar disatukan dengan izin Allah. InsyaAllah!

"Tak ucap tak bermakna tak cinta, cukuplah dengan tingkah laku yang melambangkan rasa cinta. Kerana cinta bukan sekadar untuk diluahkan tetapi cinta adalah untuk dirasai." 
Don’t give up. Okay! 
**Amacam? Boleh diterima tak kata-kata ni?


Rangkaian cerita ini: Cnta Seorang Pemuda

Copyright, 2011 by Cheq Zaa


0 comments:

Post a Comment

 
;